Ramadhan telah pun memasuki hari ke 4.
Pagi ini saya sahur sendirian. Lagi. Iya. Ini bukan kali pertama biarpun Ramadhan baru menginjak hari ke 4.
Sahur saya ringkas sahaja. Sekadar menggoreng sebiji telur dadar yg dicampurkan sedikit cili. Itu sahaja. Sungguh saya tiada mood hendak memasak. Diikutkan hendak bersahur pun tidak berselera. Tetapi saya gagahkan juga memikirkan sahur yang sangat digalakkan dalam Islam dan takut si kecil di dalam perut kelaparan.
Nasi berlaukkan telur goreng bercili itu saya temankan bersama sayur salad dan air asam yang saya buat sehari sebelum Ramadhan. Masam tomato yang terserap air asam itu dapat juga memujuk selera saya datang sehingga habis juga nasi di pinggan.
Saya juga menggoreng sedikit donut yang saya buat bersama anak2 semalam. Sengaja buat penyeri selera. Maklumla semalam waktu berbuka saya sekadar makan spageti goreng.
Beginilah saya bila suami terikat dengan komitmen kerja yang tidak mengizinkan dia pulang. Berbuka dan sahur sendirian. Kerana itulah bila suami memberitahu jadual kerjanya yang sudah terang tidak membolehkan kami banyak menikmati waktu berbuka dan bersahur bersama, saya sudah mengadu itu ini. Bukan tidak memahami komitmen kerja suami, bukan juga menyalahkan dia, tidak. Jauh sekali. Sekadar meluahkan rasa sunyi saya tanpa dia disisi. Ialah.. siapa lagi yang dapat memahami kecuali mereka yang merasainya sendiri?
Mujur juga ada anak2 menemani. Merekalah permata hati yang mewarnai hari2 saya.
No comments:
Post a Comment