Friday, 12 December 2014

Santai

Bersantai di petang Jumaat. 
Atau lebih tepat bermalasan di petang Jumaat.
Dah lama rasanya tak bermalasan seperti ni.
Tengah fikir untuk minum petang pula ni.

Sunday, 30 November 2014

Hujung minggu

Menikmati waktu bersantai bersama keluarga.
Kerja rumah pun disiapkan dengan bersenang lenang, tidak perlu tergesa-gesa.
Dan secara tidak langsung mengundang malas.

Ah.. masa untuk menyambung kerja.

Wednesday, 26 November 2014

Kembali setelah sekian lama

Lama laman blog ini terbiar sepi.
Berhalangan untuk mengemaskini biarpun ada kisah hati yang ingin dititipkan.

Sudah tiba ke penghujung tahun. Tahun hadapan anak-anak semakin menginjak usia. Baru-baru ini saya suarakan keinginan untuk menghantar anak2 mengaji. Kasihan usia yang  makin bertambah tapi masih belum juga kami hantar belajar mengaji.

Suami pula tidak berapa setuju dengan pendekatan iqra' yang lebih kepada menghafal sebagai permulaan mengaji anak2. Dia ingin anak2 mengenal bukan menghafal. Lalu saya katakan padanya, zaman sekarang kebanyakan guru mengaji mengajar iqra'. Maka sudahnya, suami sendiri mengajar anak2 mengaji. Sejujurnya, saya gembira.

Thursday, 18 September 2014

Kesal

Sungguh saya kesal. Kesal dengan tindakan saya. Saat begini mmg saya asyik terfikir-fikir.. kalaulah saya tahu..

Penyesalan yang bertalu tidak mahu berlalu. Kerana silap saya itu habis semuanya rosak. Siapalah yang dapat memahami beban rasa bersalah ini? 

Saya sudah berusaha sehabis baik. Kerana terlalu menjaga hati maka jadi begini. Silap saya. 

Entahlah. Saya menjadi takut dengan diri sendiri. Setiap kali ada sahaja silap yang saya lakukan. ALLAH jua yang tahu penyesalan yang bersarang.

Sungguh manusia tidak sempurna, tapi mengapa tidak sempurnanya saya ini menyusahkan orang lain?

Beban perasaan.

Tuesday, 26 August 2014

Aura positif

Hari ini setelah beberapa hari bergelut dengan kesihatan dan emosi yang turun naik, saya berasa lebih baik. Rasa bersemangat ingin berbuat itu dan ini (walaupun belum tentu lagi akan buat. hihi). Alhamdulillah.. saya lega dengan emosi positif ini.

Semoga saya kekal positif :)

Saturday, 9 August 2014

Terkadang satu panggilan itu dapat menyatakan yang dia mengambil berat

Semalam kami membuat acara makan-makan sempena Aidilfitri. Jemputan pun sekadar beberapa keluarga, yang terdiri daripada jiran dan sahabat2 suami yang rapat. Menu pun ringkas. Kononnya berkonsepkan santai.

Walaupun  sekadar majlis makan2 santai, penat juga bila tetamu terakhir pulang. Tanpa mengemas satu apapun, saya tertidur saat menidurkan si kecil. Menggigihkan diri bangun semula lewat tengah malam semata-mata menyimpan baki makanan supaya tidak rosak.

Hari ini pula suami bekerja. Kesian juga dia berjaga lewat tengah malam semata-mata mencuci muntah anak (yang termuntah akibat batuk2 disebabkan banyak minum ais). Saya sudah lena tidak tersedar ketika itu. Pagi ini pula dia menelefon saya semata-mata untuk berpesan agar tidak beria mengemas. Cukuplah sekadar membersihkan pinggan mangkuk. Ah.. terharu pula saya. Padahal dia yang lagi penat dari saya kerana perlu pula bekerja hari ini.

Terima kasih suami. 

Monday, 21 July 2014

Hati yang terguris

Berkecil hati.

Bila suami hendak membeli biskut dari isteri sahabatnya. Kerana itu biskut kegemarannya. Habis mentega dan butter berketul2 yang saya beli itu untuk apa?

Iyalah.. saya ini tidak pandai membuat biskut. Biskut hasil tangan saya tidak sesedap biskut yang dijual. Rugi kalau saya buat sendiri tapi rasanya tidak sedap. Tidak puas dimakan sebab tidak kena tekak. Lebih berbaloi kalau dibeli. Iyalah.. kalau dijual sudah pasti sedap kan.

Biskut yang sedang dibuat pun habis hangit semuanya. Iyalah membuat kuih raya sambil melayan kerenah anak2 yang sekejap minta susu, sekejap datang habis semua benda di dapur hendak diusik dimasuk mulut. Jadi manakan nak sedap macam kuih raya yang dijual.

Hati menangis siapalah yang tahu?

Thursday, 10 July 2014

Hati yang jernih

Asalnya ingin menulis. Sudah dikarang satu dua ayat.. tapi terhenti setakat itu sahajalah. 'Mood' menulis tiba-tiba hilang. Lalu dipadam dan diganti dengan entry ini.

Di sini, di ruangan 'Rahsia Hati' ini, saya lebih gemar menulis mengikut kata hati. Sesuai dengan namanya.. bila hati berbicara. Kisahnya entah apa-apa, tapi di sini saya meluahkan apa yang saya rasa. Penulisan saya di sini sejujurnya lebih kepada diri saya yang tersembunyi, yang jarang saya tunjukkan pada yang lain.

Di saat entry ini ditulis, saya sedang memikirkan soal hati. Betapa sukarnya untuk mendapatkan hati yang suci, yang ikhlas. Yang mampu melihat yang putih dibalik yang hitam. Yang mampu melihat kebaikan dibalik keburukan. Yang tidak ada hasad dengki di atas kelebihan orang lain. Yang mampu berbahagia melihat orang yang lebih darinya.

Sesungguhnya beruntunglah mereka yang mampu mendidik hatinya.

Wednesday, 2 July 2014

Ramadhan penuh berkat

Ramadhan. Ahamdulillah setakat ini dapat kami jalani puasa dengan baik. Kali ini juga puteri kecil kami mula menunjukkan minat untuk berpuasa. Dengan kemahuanya sendiri dia berpuasa. Minta dikejutkan bangun sahur (dan amat mudah juga untuk dia bangun) dan tidak mererngek lapar atau dahaga sepanjang berpuasa.

Tapi itulah. Puasanya hanya sekerat hari. Tewas dengan godaan si adik yang selamba makan dan minum depan si kakak. Tidak mengapalah. Dia masih kacil. Teringat saya kata-kata dari seorang penceramah, lupa pula saya siapa orangnya. Anak kecil jgn dipaksa berpuasa. Sebaliknya dididik untuk solat. Kerana apabila dia solat maka secara automatik dia akan berpuasa. Peringatan buat saya.


Monday, 30 June 2014

Hati.. lihatlah yang putih

Saya tiada upaya untuk menegur. Saya hanya mampu melihat dan memuhasabah diri, mengambil pengajaran. Juga saya perlu memperingatkan diri agar tidak 'menjengah' ke situ lagi.

Kerana saya melihat dari persektif yg berbeza dari mereka. Dan dari sudut yang saya lihat itu yang terlihat adalah keburukan. Saya takut. Kerana keburukan yang saya lihat itu menunjukkan hati saya yang kotor. Sesungguhnya mereka yang suci hatinya mampu melihat yang putih dibalik yang hitam. 

YA ALLAH.. peliharalah hatiku.

Saturday, 24 May 2014

Alasan semata

Bila malas bergandingan dengan bosan, satu apa pun tak jalan. 
Nak buat apa pun tak bersemangat.
Lepas tu mengadu pula masa lambat berjalan.
Padahal banyak sahaja perkara yang dapat dibuat kalau rajin.

Siapa lagi yang pemalas itu kalau bukan  saya.

Wednesday, 14 May 2014

Tears in the heart

A gloomy day.
The sad sky reflected my heart. Am at my low mood since morning.

Then I got the news. My heart just scattered. I know I had said it is better if the thing ended but the truth I still hope the best for them.

Badly need to cheer myself up.

*My heart is crying*

Wednesday, 7 May 2014

Yang berat bagiku

Muhasabah diri.
Banyak benar pincangnya saya ini. Zikir lazim pun masih terkial-kial.*menangis* Amalan masih banyak yang rompang. Semalam pun suami secara berkias menegur bacaan Al-Qur'an saya.*malu sendiri*

Saya masih terkial-kial dalam beristiqamah. Sungguh. Saban hari saya berharap agar saya diberi kekuatan untuk istiqamah. Juga ikhlas. 

Saya titipkan di sini bukan kerana ingin menunjuk-nunjuk. Sebagai peringatan buat diri. Agar di masa hadapan bila saya membacanya kembali saya memperingatkan diri saya sendiri supaya istiqamah dan ikhlas.

Thursday, 24 April 2014

Bosan

Aduhai, bosannya.
Bukannya tiada kerja yang perlu dibuat, tapi malas pula rasanya.
Itulah dia. Malas. Manalah tidak bosan.

Aduh.. bosannya saya!

Wednesday, 23 April 2014

Hati

Hati, bila terluka siapalah yang tahu.
Lukanya tidak nampak di mata.
Pedihnya tidak jelas terlihat.

Yang merasa hanyalah empunya hati.
Yang kiranya tabah, mampulah dia mengukir senyum.
Melindungi hati yang perit berdarah.
Yang kiranya tidak mampu, terpancarlah luka itu.
Pada suram matanya, pada tawar senyumnya.

Hati, bertahanlah.

Friday, 28 March 2014

The stalker me

Lately I had been such a stalker that I scared myself.

Sebelum ini saya memang selalunya seorang pemerhati. Melihat, membaca dan menilai mengikut pandangan saya secara diam-diam. Saya jarang memberi respon mahupun komen, kerana saya tahu saya yg memerhati tidak kan dapat memahami seperti yang melalui.

Tetapi kebelakangan ini saya mendapati saya asyik melihat akan satu perkara ini. Saya risau. Risau dengan apa yang saya lihat dan baca, juga risau dengan sikap saya ini yang semakin lebih kepada seorang penyibuk. Sudah terasa seperti makcik2 yang suka bergosip pula saya ini. Bezanya saya tidak bergosip dengan sesiapa. Cuma membaca dan berfikir sendiri.

Sedaya upaya saya cuba melihat hal ini dari perspektif yang lebih luas. Tidak mahu berburuk sangka dan pada masa yang sama mengawal diri dari menjadi penyibuk. 

Hati, ikhlaslah.

Thursday, 23 January 2014

Kupohon

Seorang sahabat berkongsi gambar2nya menjadi tetamu ALLAH.
ALLAH.. tersentuh hati.

Sesungguhnya Ya ALLAH.. hanya Engkau jua yang tahu isi hatiku. Ketakutanku, kerisauanku, keinginanku.
Ya Rabbi, ikhlaskan hatiku.

Wednesday, 22 January 2014

Rasa itu masih ada

Terlihat fb seorang gadis yang baru melangsungkan perkahwinan. Kemaskininya tentang awal perkahwinan membawa saya mengimbau kenangan perkahwinan saya. Mengingatkan saya bahagia yang saya rasa dulu.

Perasaan baru bergelar suami isteri. Saat akhirnya dapat berjalan berdua berpegangan tangan, dapat bersama dari pagi hingga ke malam, dapat menikmati waktu bercuti bersama-sama. Saat terasa cinta biarpun tanpa kata-kata.

Kini, serasanya kami telah kalah dek masa. Terperangkap dalam arus kehidupan yang menuntut lebih banyak masa dan perhatian kami daripada satu sama lain.

Terlihat fb gadis itu (atau seharusnya saya katakan puan) adalah suatu peringatan yang baik buat saya. Peringatan tentang perasaan cinta itu yang seharusnya dapat dirasa tanpa kata2. Peringatan bahawa saya masih cinta.